KOAM gagal lahir atlet berkualiti


ADAKAH Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) sudah matang?
Jawapannya pasti ya andai usia dijadikan ukuran.
Ditubuhkan pada tahun 1906, KOAM secara dasarnya kini memasuki usia 103 tahun iaitu tempoh masa yang cukup untuk mendewasakan mana-mana persatuan sukan.
Namun, sejauh manakah kematangan itu menjadikan KOAM sebagai badan sukan yang berjaya, dan adakah juga tempoh 103 tahun itu sudah cukup untuk membolehkan KOAM tampil dengan lebih profesional?
Hakikatnya, tahun 2008 lalu menjadi tahun suka duka buat KOAM.
Suka kerana tiga atletnya, Lee Hup Wei, Roslinda Samsu dan Yuan Yufang berjaya melangkah ke Sukan Olimpik.
Begitupun, episod duka yang dilalui KOAM cukup ketara.

Selain politik kepimpinan yang terus berlarutan, KOAM juga secara dasarnya masih gagal melahirkan kelompok atlet pelapis yang benar-benar berkualiti. Di manakah silapnya atau adakah KOAM tidak buat kerja?
Persoalan kini, adakah kurangnya penganjuran peringkat tempatan telah menyekat usaha KOAM untuk menjadi kilang melahirkan atlet berkualiti?
Kalau adapun, mungkin kehangatannya tidak sehebat ketika era tahun 1980-an dan 90-an.
Ketika itu, peminat dapat melihat aksi kelas dunia daripada pelari seperti Rabuan Pit, Watson Nyambek, Azmi Ibrahim, Hamberi Mahat, Nazmizan Muhammad dan R. Ganeshwaran yang sememangnya gagah dalam acara pecut.
Begitu juga dengan persaingan antara Azhar Hashim, Mohd. Yazid Parlan, V. Samson dan Nordin Jadi dalam acara 400m sekitar tahun 1990-an.
Bagi kategori wanita, nama-nama seperti G. Shanti, Anita Ali, Sajaratuldur Hamzah dan Mumtaz Jaafar (kini Datuk) adalah srikandi yang pernah menggegar trek 100m pada penghujung tahun 1980-an.
Kini, tradisi persaingan yang ada dalam KOAM tidak lagi wujud.
![]() |
|
Kejohanan utama peringkat negeri seperti Terbuka Pahang, Terbuka Negeri Sembilan dan Terbuka Kuala Lumpur juga tidak semeriah dulu.
“Memang diakui hakikat bahawa kejohanan tempatan hari ini tidak semeriah berbanding dahulu,” tegas Timbalan Presiden KOAM, Karim Ibrahim.
“Namun, ia tidak bermakna KOAM telah gagal melaksanakan tanggungjawab dan peranannya untuk melahirkan atlet berkualiti,” tambahnya.
Karim yang juga Pengerusi Pembangunan dan Kejurulatihan KOAM turut menafikan badan sukan itu tidak seaktif dahulu dalam menyediakan pentas kejohanan peringkat tempatan kepada atlet.
“Jika orang kata kami (KOAM) kurang anjur kejohanan, maka itu adalah salah. Sebaliknya, kejohanan yang ada ketika ini terlalu banyak jika dibandingkan sebelum ini.
“Kita ada kejohanan di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan. Ini tidak termasuk kejohanan yang dianjurkan pihak luar. Jadi, dakwaan kurangnya kejohanan adalah tidak benar.
“Masalahnya kini adalah penyertaan dan KOAM memang mengakui hakikat ini. Lihat sahaja, kejohanan utama anjuran KOAM seperti Terbuka Malaysia juga kadang kala gagal menerima penyertaan menggalakkan bagi sesetengah acara.
“Namun, kita perlu lihat isu ini secara positif. Kekangan kewangan adalah punca utama kenapa persatuan negeri selalu gagal menghantar jumlah atlet yang besar dalam satu-satu kejohanan. Bayangkan, untuk satu atlet sahaja, mereka perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM300. Jadi bagaimana pula kalau mereka menghantar 30 atlet?,” tambah Karim.

Sementara itu, bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan mengakui hakikat bahawa kejohanan peringkat tempatan mampu menjadi pentas melahirkan atlet berpotensi tinggi.
“Asas kepada melahirkan atlet sebenarnya bermula pada peringkat sekolah. Dari peringkat inilah bakat mereka dicungkil yang kemudiannya di bawah ke peringkat daerah dan seterusnya negeri,”ujar pemenang pingat emas Sukan SEA 2003 dalam acara 100m dan 200m itu.
“Mana-mana atlet yang berjaya perlu melalui semua peringkat ini sebelum mereka boleh didedahkan pada kejohanan peringkat tinggi dan antarabangsa,” katanya.
Begitupun, Nazmizan tetap melahirkan kebimbangannya dengan trend atlet masa kini yang terlalu memberi tumpuan kepada acara 100m sehingga menyaksikan kurangnya penglibatan dalam acara lain.

Sementara itu, Karim menyuarakan keyakinannya bahawa tahun 2009 ini bakal menjanjikan perubahan ketara kepada KOAM terutamanya dalam agenda pembangunan di peringkat akar umbi.
“Dengan sumber kewangan yang ada, maka kami akan cuba mengatasi segala masalah yang selama ini menyekat usaha KOAM untuk melahirkan atlet berwibawa.
“Kita sedia maklum bahawa MSN juga memainkan peranan yang sama menerusi program pelapis mereka dan begitu juga dengan sekolah-sekolah menerusi Kementerian Pelajaran.
“Bagi KOAM pula, Program Pasti Menang KOAM 10 Tahun yang bakal dilaksanakan tahun ini menjadi usaha terbaru bagi memastikan atlet yang tidak mendapat tempat di MSN dan Sekolah Sukan dapat memperoleh peluang sama untuk mengetengahkan bakat mereka.
“Program ini akan memastikan setiap negeri mempunyai pusat sukan olahraga. Ini bermakna, kita ada 15 pusat di seluruh negara. KOAM akan memainkan peranan utamanya untuk memantau setiap pusat di setiap negeri selain menyalurkan bantuan kewangan.
“KOAM juga akan memastikan atlet-atlet terbabit menyertai kejohanan utama peringkat negeri dan luar negara. Ini sebenarnya matlamat kita untuk tempoh 10 tahun akan datang,” tambah Karim.
Karim juga menjelaskan bahawa KOAM dengan kerjasama penaja utama, Octagon akan menganjurkan acara khas iaitu Kejohanan Olahraga KOAM-OCTAGON Underdistance bulan depan.
Kejohanan yang mempertandingkan acara-acara seperti 60, 300 dan 600m itu akan berlangsung pada 22 Februari di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

No comments:
Post a Comment