Sunday, November 29, 2009

KOAM beri isyarat salah

KOAM beri isyarat salah

Oleh Lukman Salleh
lukmsal@bharian.com.my

DARIPADA sasaran awal memburu 10 pingat emas, Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) mengubah pendirian dengan menurun kepada angka lapan. Gelagat itu sudah cukup menceritakan senario olahraga negara yang cukup lesu menghadapi Sukan Sea XXV di Vientiane, bermula 9 Disember ini.

Dengan prestasi atlit kurang memberangsangkan serta sandaran lebih kepada atlit senior atau veteran menampakkan betapa program pembangunan atlit KOAM sama ada satu kegagalan atau pun sememangnya tiada perancangan langsung.

Malah, jumlah lapan emas disasarkan KOAM, menyamai jumlah pungutan pada beberapa temasya lalu seperti Manila 2005 dan Vietnam 2003, sebelum berkurangan kepada tujuh, dua tahun lalu di Korat.


Sekilas pandang ia memberi gambaran bahawa olahraga negara dalam dekad terakhir ini tidak menunjukkan sebarang peningkatan seiringan dengan peredaran masa sebaliknya terbantut tanpa misi dan hala tuju yang jelas.

Berdepan dengan pelbagai persoalan ini, orang kuat KOAM, Karim Ibrahim masih menampilkan wajah bersemangat dengan keyakinan tinggi bahawa barisan atlit negara dipilih menggalas cabaran kali ini akan mampu menampilkan prestasi membanggakan.

“Saya yakin atlit akan bangkit di Laos di sebalik prestasi kurang membanggakan sepanjang musim,” katanya baru-baru ini. “Saya pasti mereka akan beraksi dengan baik.”

Hakikatnya, KOAM masih mengharapkan nama seperti Lee Hup Wei, Roslinda Samsu, Noraseela Khalid, dan pejalan kaki, Teoh Boon Lim menyumbang emas dan ketiadaan Yuan Yu Fang menyaksikan Malaysia bakal kehilangan emas dimenangi sejak lebih dua dekad lalu.

Kali terakhir atlit olahraga berjaya menyumbang lebih daripada 10 emas ialah pada Temasya Brunei 1999 dengan sejumlah 12 emas tetapi sejak itu angkanya hanya berlegar antara tujuh dan lapan.

No comments:

Post a Comment