Sunday, December 6, 2009

tindakan pelik

Tindakan pelik

Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com my

TINGGAL dua hari tirai saingan Sukan Sea Laos akan dibuka dan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) mengatur langkah pelik apabila atlit mereka diarah menjalani ujian larian semalam.

Atlit yang terbabit dalam ujian ‘mini’ KOAM selama sehari di trek Stadium Nasional, Bukit Jalil, itu terdiri daripada mereka yang akan menyertai acara 4x400m lelaki dan 4x400m wanita.

Ujian saat akhir KOAM itu dilihat kurang tepat kerana menimbulkan risiko buat atlit, apatah lagi dua daripada pelari kuartet 4x400m lelaki negara Muhamad Zaiful Zainal Abidin dan Muhammad Idris Zakaria mengalami kecederaan kecil.

Pelari simpanan acara itu, K Amran Raj juga belum berada pada tahap terbaik selepas pulih daripada kecederaan akibat kemalangan dan pembedahan betis kerana masalah tiada tekanan darah pada betis.



Mohd Zafril Mohd Zuslaini yang turut bersama kuartet yang diberi tugas mempertahankan pingat emas dimenangi dua tahun lalu di Korat, mengakui tidak mempamerkan prestasi sebenar dalam ujian itu kerana bimbang ditimpa kecederaan.


“Saya memang tidak beri persembahan terbaik sebab takut cedera, sebab kami (4x400m) tidak mempunyai pelari simpanan,,” katanya yang mencatat larian terpantas dengan masa 47.04s berbanding tiga lagi pelari utama negara - P Yuvaaraj, Muhamad Zaiful dan Muhammad Idris Zakaria.

Rasa tidak senang itu difahamkan bukan hanya dirasai Zafril, malah atlit-atlit lain serta jurulatih namun terpaksa akur dengan arahan pihak atasan persatuan.

Timbalan Presiden KOAM, Karim Ibrahim yang diajukan soalan mengenai perkara itu tetap mempertahankan langkah yang dibuat sebagai penilaian prestasi atlit serta menentukan posisi larian untuk acara berganti-ganti.

“Kenapa tidak faham? Ini pertandingan untuk mereka, macam Usain Bolt sebelum masuk Kejohanan Dunia, dia lari tidak kurang daripada 20 pertandingan kompetitif.

“Daripada ujian ini, kami boleh nilai dan tentukan posisi pelari acara berganti-ganti, siapa pelari pertama dan terakhir.

“Tidak perlu bimbang mengenai kecederaan sebab atlit tidak akan lari sepenuh hati,” kata Karim.

Persoalannya, jika atlit tidak berlari mengikut kemampuan sebenar bagaimana prestasi mereka boleh dinilai KOAM?

Menurut jurulatih 400m kebangsaan, K Jayabalan walaupun atlit diuji namun mereka dinasihatkan supaya berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan.

“Kami mahu lihat prestasi mereka sebab sebelum ini kuartet 4x400m lelaki tidak pernah diuji bersama, jadi daripada sini kami boleh nilai, kami juga ambil kira prestasi larian mereka sebelum ini,” katanya.

Skuad olahraga yang mensasarkan lapan emas, akan berlepas ke Laos, Khamis ini.

No comments:

Post a Comment