KOAM dikritik anjur 'kejohanan' 4 x 400m
Oleh Harris Rajahdin
harajah@bharian.com.my
PELARI 4x400m negara, Zaiful Zainal (tiga dari kiri) menunjukan rakaman larian mereka sewaktu ujian masa yang dirakam oleh jurulatih mereka Hamberi Mahat (kiri) dan Jayabalan (dua dari kiri) sambil diperhatikan (dari kanan) P Yuvarag, Zafril Zuslaimi dan Idris Zakaria.
KETIKA acara mereka di Sukan Sea berbaki seminggu lagi, tindakan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) menganjurkan sesi pemilihan merangkap 'kejohanan' 4x400m lelaki dan wanita, mengundang kritikan ketika kuartet ke Laos sudah ditentukan.
Namun, Timbalan Presiden KOAM, Karim Ibrahim mempertahankan tindakan badan induk itu dengan menjelaskan sesi yang dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, untuk memilih aturan terbaik kuartet lelaki bagi mempertahankan emas yang dimenangi di Korat, di samping mencari ramuan terbaik bagi rangkaian wanita dalam harapan mencuri pingat di Vientiane nanti.
Mengambil contoh pelari pecut sensasi dunia, Usain Bolt, Karim menyifatkan tindakan pihaknya menyamai persiapan pemegang rekod dunia itu dalam menghadapi Kejohanan Dunia.
"Ia bukannya sesi pemilihan tetapi atlit perlu menganggapnya sebagai satu pertandingan. Sebelum menyertai Kejohanan Dunia, berapakah kejohanan yang disertai Usain Bolt? Tidak kurang daripada 20.
"Jadi hari ini adalah untuk mempersiapkan pasukan selepas berlatih dua minggu lalu. Kami nak susun kuartet 4x400m lelaki untuk mempertahankan pingat emas.
"Bagi wanita, kami mengharapkan mereka dapat mencuri satu pingat dengan kehadiran Noraseela (Khalid). Noraseela tak lari hari ini kerana ingin menumpukan terhadap 400m dan lari berpagar," katanya.
Hakikatnya sesi semalam dilihat tidak dapat membantu pihak pemilih untuk menetapkan aturan dengan keputusan jurulatih, K Jayabalan tidak akan berpandukan kepada satu larian, itu pun dalam keadaan atlit tidak memberikan 100 peratus kerana bimbangkan kecederaan.
No comments:
Post a Comment