
Sasaran pingat olahraga berubah
![]() |
ATLet negara yang akan ke Sukan SEA Laos dan Kejohanan Olahraga Padang dan Balapan Asia di China, Ogos ini bersama Shahidan Kassim (duduk, empat dari kanan) di Bukit Jalil, semalam. |
KUALA LUMPUR - Sasaran pingat emas acara olahraga Sukan SEA Laos, Disember ini berubah sekelip mata daripada sembilan kepada lapan gara-gara seorang atlet wanita dikatakan hamil.
Berikutan nasib yang menimpa atlet jalan kaki, Yuan Yufang itu, beliau dikatakan enggan beraksi sekali gus mengambil keputusan menarik diri daripada bertanding pada temasya Sukan SEA Laos pada Disember ini.
Berita mengejut ini diumumkan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Datuk Seri Shahidan Kassim sendiri selepas mengadakan perjumpaan hati ke hati dengan atlet olahraga Sukan SEA negara di Bukit Jalil, semalam.
Begitu pun Shahidan menegaskan, pihaknya masih menunggu surat rasmi daripada Yufang.
"Memandangkan berlaku keadaan yang tidak dijangka ini, KOAM kini terpaksa mengubah sasaran daripada sembilan emas kepada lapan.
"Namun, kita berharap atlet-atlet lain dapat mempamerkan semangat juang yang tinggi kerana itu hanya merupakan sasaran minimum kita.
"Jika bernasib baik, olahraga mampu membawa pulang pingat emas lebih daripada itu," katanya selepas majlis perjumpaan tersebut.
Skuad olahraga negara dijangka menghantar 45 atlet ke Laos dengan kebanyakannya pergi di bawah kategori B iaitu menggunakan perbelanjaan sendiri.
Namun, menurut Shahidan, keadaan itu tidak menghalang KOAM meletakkan sasaran lapan emas yang kebanyakan bakal diletakkan harapan menerusi atlet berpengalaman.
Daripada jumlah itu katanya, empat daripadanya adalah daripada atlet wanita iaitu menerusi Noraseela Khalid (400m, 400m lari berpagar), Roslinda Samsu (lompat bergalah) dan Tan Soon Wah (baling tukul besi).
Empat lagi emas disasar menerusi atlet lelaki iaitu Lee Hup Wei (lompat tinggi), Teoh Boon Lim (jalan kaki), Mohd. Rayzam Shah Wan Sofian/Mohd. Robani Hassan (110m lari berpagar) dan kuartet lari berganti-ganti 4x400m.
Sehingga ini kata Shahidan, KOAM menerusi kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) bercadang mengadakan latihan intensif di Kota Kinabalu, Sabah mulai pertengahan November ini selama 21 hari.
Sekembalinya daripada sana, mereka akan menyertai pula latihan pusat anjuran MSN dari 30 November hingga 5 Disember ini.
"KOAM juga akan menghantar 24 atlet ke Kejohanan Olahraga Padang dan Balapan Asia (ATF) di China dari 10-14 November ini sebagai pemanas badan," ujarnya.